Pada tahun ini, Perpustakaan Tuanku Bainun sekali lagi
menganjurkan Program Ilmu dan Budaya Membaca di mana Pesta Buku merupakan salah
satu aktiviti yang sering menjadi tumpuan pencinta buku. Pesta Buku kali ini
berlangsung dengan dipenuhi pelbagai aktiviti tambahan yang mampu menarik
perhatian para pengunjung. Pada 28 September 2012, kemeriahan Pesta Buku UPSI semakin terasa apabila Raja Pensel Warna iaitu Uneh atau nama sebenarnya
Hasren Ismail telah menjejakkan kaki di UPSI untuk menjayakan Program Mari
Belajar Mewarna Bersama Uncle Uneh. Uneh kini menjadi perhatian apabila wajah dan kebolehan beliau mewarna
sering dapat ditonton di kaca televisyen.
Program ini dijalankan
dalam 2 sesi iaitu pagi dan petang. Sesi pagi adalah untuk kanak-kanak
tadika 5 dan 6 tahun. Manakala sesi petang pula terbuka kepada sesiapa sahaja
yang berminat dalam seni mewarna ini. Bayaran yang dikenakan adalah berpatutan dan percaya atau tidak, ianya amat
berbaloi. Kepetahan Uneh dan aksinya yang santai semasa memberi tunjuk ajar telah
berjaya membuatkan para peserta terus mewarna mengikut arahan sebagaimana yang
ditunjukkan oleh beliau. Apa yang menariknya, peserta kanak-kanak begitu teruja
hingga sanggup menuju ke hadapan pentas untuk menunjukkan hasil lukisan mereka
kepada Uneh. Ada juga ibubapa yang menemani anak mereka tetapi akhirnya mereka
sendiri turut sama menghasilkan lukisan bermotifkan pokok yang menarik. Dalam
program ini juga, Uneh telah menunjukkan cara-cara untuk mengasah pensel dengan
betul dan menjimatkan. Satu tip yang sangat menarik khususnya kepada ibubapa!
Program ini telah berjaya menarik lebih seratus orang
peserta dari yang muda hinggalah ke usia dewasa. Terima kasih kepada
semua peserta kerana menyokong aktiviti mewarna bersama Uncle Uneh. Perpustakaan Tuanku Bainun juga ingin
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Uneh kerana sudi menjayakan
program ini.
Buah selasih buah kelubi
Untuk
hidangan di waktu pagi
Terima
kasih daun keladi
Bila
diundang datanglah lagi.