![]() |
Disunting oleh Mohd Razalli b. Ahmad Termizi |
Program Pengkisahan Behrang Ulu telah dianjurkan oleh Perpustakaan Tuanku Bainun pada 24 September 2020 bertempat di Auditorium, Perpustakaan Tuanku Bainun. Program tersebut dipengerusikan oleh YM Dr. Raja Ahmad Shalaby bin Raja Hassan, Pustakawan Kanan UPSI. Barisan panel terdiri daripada Dr. Haji Zabidin bin Haji Ismail, seorang penulis buku dan Mohd. Razali bin Rafaei, penduduk Behrang Ulu. Pengkisahan ini dianjurkan untuk memberikan pendedahan terhadap sejarah keunikan Behrang Ulu, mendedahkan perjuangan menuntut kemerdekaan yang dipelopori oleh Ahmad Boestamam, menonjolkan peranan Perpustakaan Tuanku Bainun dalam mengadakan program berbentuk keilmuan dan melibatkan tokoh- tokoh setempat. Program telah dihadiri oleh 63 orang peserta yang terdiri daripada warga UPSI dan masyarakat setempat. Program ini telah diikuti secara “FB live” oleh seramai 338 orang dan boleh ditonton melalui https://youtu.be/QdPwN2JAPC0.
Ringkasan Pembentangan:
Sebagai
permulaan, saya hendak menjawab persoalan yang timbul dalam pembentangan Dr. Haji Zabidin sebentar
tadi, Behrang Ulu tapi di mana hilirnya? Hilirnya dulu dikenali sebagai Kuala
Behrang. Semasa penjajahan British,
namanya ditukar kepada Behrang Stesen. Behrang Ulu terletak di utara Tanjong
Malim dan selatan Slim
River. Di antara Behrang Ulu dan Slim River ada sebuah pekan kecil yang
dikenali sebagai Slim Village. Daripada zaman perang dunia ke-2, Behrang Ulu
terletak antara jalan dari Kuala Lumpur
ke Pulau Pinang. Sekarang ini dipanggil sebagai jalan lama. Ia adalah
jalan dagangan dan perhubungan penting
serta pernah digunakan oleh tentera
Jepun melancarkan perang dari utara menuju ke Kuala Lumpur. Di Slim Village
terdapat padang tempat berlakunya pertempuran di antara tentera British dan tentera
Jepun yang dikenali sebagai “Battle of Slim River”. Tentera British kebanyakannya terdiri
daripada orang–orang Punjab. Pertempuran
berlaku selama 3 hari dan tentera British mengalami kekalahan. Di
situlah benteng terakhir tentera British
sebelum tentera Jepun mara ke Kuala Lumpur.
Behrang Ulu juga menjadi laluan Raja Billah selepas tamatnya Perang Selangor dan menetap di Papan. Hari ini, terdapat istana Raja Billah di Papan. Akibat hijrah beliau, sebahagian orang-orang Mandailing, Rawa dan Selayang yang menjadi pengikut Raja Billah telah tinggal di muara Sungai Behrang bertemu dengan Sungai Dara. Sekitar tahun 1917, orang–orang Mandailing giat mengusahakan kebun getah dan buah-buahan. Saya pernah melihat geran tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan bertarikh 1921. Ini bermakna kewujudan Kampung Sungai Sekiah sudah berusia lebih 100 tahun.
Behrang Ulu tidak terkesan semasa
pendudukan Jepun (1942– 1945) dari segi kemusnahan harta–benda, tetapi terjejas
teruk dari segi ekonomi. Hendak makan pun susah. Namun, orang Mandailing ialah orang yang kuat
menghadapi cabaran. Mereka menyara hidup dengan berkebun dan bersawah. Daripada
Kuala Sungai Dara, orang- orang Mandailing berpindah ke Sungai Jernang yang
teletak berdekatan dengan Hulu Sungai Sekiah. Mereka bersawah di tempat
berkenaan. Sungai Jernang sering
diganggu oleh komunis. Beberapa orang ditangkap oleh “Malayan People's
Anti-Japanese Army” (MPAJA) atas tuduhan mereka menjadi tali barut Jepun
dan dihadapkan di mahkamah Kangaroo. Di sana, pendakwa raya tanya
hukumannya kepada orang ramai. Kalau
mereka memutuskan untuk hukuman bunuh maka hukuman dijatuhkan ialah bunuh. Tahun 1951, berlaku di Sungai Jernang dan Batu 8, komunis
masuk dengan merampas senapang patah kepunyaan orang kampung dan mengugut
mereka. Maka, timbullah Rancangan Briggs.
Penduduk–penduduk
Sungai Jernang dipindahkan ke Kampung Sungai Sekiah. Penduduk Cina pula
dipindahkan ke Kampung Baru, Behrang Ulu. Ini bukanlah satu kebebasan, kampung tersebut dipagar dan dikenakan
perintah darurat. Dibolehkan keluar dari rumah
pukul 7 pagi sehingga 2 petang sahaja. Makanan dicatu. Beras dibeli
dibenarkan dibeli sebanyak 4 tahil sahaja oleh seseorang lelaki. Bekalan gula
dan garam juga disekat. Tong–tong getah juga diperiksa oleh tentera British.
Tinggallah dusun Jernang seluas lebih 100 ekar. Tiada sebarang kesan di Sungai
Jernang. Tiada lagi sistem pengairan. Begitu sayang, satu kehidupan yang aman
dan damai tinggal begitu sahaja. Cuma, tiang pagar untuk menghalang pergerakan
komunis masih ada lagi sehingga sekarang.
Di
Batu 8, Sungai Sekiah, orang Jawa berpindah ke kampung. Raja Kecil yang
membukanya. Kita selalu berbicara tentang Ahmad Boestamam, tokoh tersohor dalam
lanskap sejarah Malaysia. Namun, ada seorang lagi tokoh yang jasanya kita tidak
boleh nafikan iaitu Ishak bin Mat Isa. Beliau
berasal dari Batu 8, terlibat dalam
peristiwa pembunuhan Michael Codner, Penolong Pegawai Daerah pada
23/2/1952. Peristiwa sabotaj tangki air oleh pengganas komunis. Sejak peristiwa
tersebut, pentadbiran daerah
dipindahkan ke Slim River.
Michael Codner dikenali sebagai “Golden
Horse of German”. Beliau berjaya
melarikan diri daripada kem tahanan
Stalag Luft III. Komunis sudah sediakan jerangkap samar. Michael Codner dan AC Jamil mati di
tempat kejadian. Ishak Mat Isa dan Yahya Paip (meninggal dunia sekitar 1990-an)
adalah saksi hidup. Semasa kematian Ishak Mat Isa, peluru masih terselit pada
pehanya. Tidak ramai yang bercerita mengenai
beliau.
Selama 14 hari MPAJA memerintah
Malaya selepas tentera Jepun menyerah
kalah. Sementara menunggu ketibaan semula British, ramai orang Melayu
yang terbunuh. Orang–orang Cina
datang menetap di Behrang Ulu dibantu
dan dihormati oleh orang–orang Melayu. Namun, didapati ada orang Cina
menjadi tali barut komunis. Hari ini, orang–orang Melayu mulai sedar. Ini kesan
daripada SITC dibuka kepada orang Melayu untuk menyedarkan orang-orang Melayu.
Di Behrang Ulu ada
kubur terletak di Batu 7, Sungai Sekiah. Ia merupakan “landmark” bagi laluan
jalan lama di Behrang Ulu sejak dibuka pada 1917. Masih terdapat kubur-kubur lama yang dibina
daripada batu–batu sungai.
Masjid Behrang Ulu sudah lama
dibina iaitu sekitar 1920, dan ia mulanya
berbentuk rumah kayu 2 tingkat. Di situlah diadakan sekolah selepas
Perang Dunia ke-2 kerana bangunan
Sekolah Kebangsaan Behrang musnah. 1954, bangunan baharu masjid dibina dan dirasmikan oleh
Sultan Yussuf Izzuddin Shah (datuk kepada Sultan Nazrin) yang masa itu
merupakan Raja Muda Perak. Raja Nazrin semasa
menjadi Raja Muda juga pernah bersolat Jumaat di Masjid Behrang Ulu.
Ada seorang guru yang bersaudara
dengan Ahmad Boestamam bernama Cikgu Sharif. Beliau seorang yang rajin.
Beliau berjalan ke semua pelusuk kampung
dan menyeru mereka semua ke sekolah. Pada
masa itu 1940-an, ramai yang tidak mahu ke sekolah. Hasilnya, mungkin
ini menyebabkan Cikgu Shafie (seorang penulis mengenai sejarah Tanjong Malim)
bersekolah di Sekolah Kebangsaan Behrang.
Seperti kata Dr. Zabidin,
Behrang Ulu mempunyai prospek yang jelas. Adanya Institut Tanah & Ukur Negara dan
Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang serta adanya industri yang boleh
menggerakkan ekonomi. Bandar Proton City dahulunya, adalah ladang ternakan
lembu dan mempunyai keluasan 2,500 ekar. Jabatan Haiwan melalui Maju Ternak
telah membuka ladang di Proton City sekitar 1970-an. Ladang ini sangat cantik
seperti masuk ke negara New Zealand
kerana ianya berkabus pada waktu pagi dan penuh dengan lembu Frisian. Harimau
juga banyak di kawasan tersebut.
Tapak asal Masjid Proton City adalah untuk kawasan ternak untuk haiwan yang diimpot daripada negara Afrika. Tasik Proton City yang ada sekarang telah wujud sejak dulu lagi yang dikenali sebagai PEDA–24 tetapi tidaklah secantik sekarang. Ia hanya penuh dengan pokok–pokok buluh. Di situ juga ada lembu Frisian. Penjagaan terbaik dengan pagar setinggi 24 kaki tetapi harimau boleh curi lembu tersebut. Semasa saya kecil, dalam tingkatan 2 dan 3, selalu datang ke situ untuk cari duit. Tiada duit untuk bayar yuran SRP sebanyak RM15.00. Datang ke tempat tersebut untuk ambil buluh. Kami tidak peduli dengan kewujudan harimau walaupun pernah bertembung dan selalu terjumpa tapak kakinya.
Cuma
saya setuju Behrang Ulu mungkin akan jadi seperti Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Memastikan generasi baru mengetahui tentang sejarah Behrang Ulu dan
keduanya, Behrang Ulu ini perlu terus
ikut arus kemajuan. Dahulunya, penduduk
tidaklah kaya. Kini, perkhidmatan bas dari Tanjong Malim ke Slim River
melalui jalan lama sudah tiada. Ini kerana arus perkembangan, ramai yang mampu
memiliki kereta sendiri. Dengan ledakan kemajuan melanda Tanjong Malin dan
kawasan sekitarnya, adalah diharapkan Behrang Ulu juga akan dimajukan.
Akhir
kata, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak UPSI kerana menjemput saya walau pun saya bukan
ahli sejarah. Saya orang kejuruteraan tetapi mempunyai minat yang mendalam
dalam bidang sejarah. Dulu masa sekolah, saya
dalam jurusan sains tetapi hendak tukar kepada jurusan sastera tidak
kesampaian. Abang saya kata lagi bagus belajar kejuruteraan. Rupanya seronok
lagi belajar sejarah daripada kejuruteraan.
Harapan
saya UPSI menjalankan pula kajian ke atas Behrang Stesen dari segi sejarah kenapa ia mendapat nama tersebut.
Begitu juga dengan Slim Village.
Dengan ini saya tutup pembicaraan saya
dengan lafaz Wabillahi Taufiq Wal
Hidayah Wassalamualaikum WBT.
![]() |
YM Dr. Raja Ahmad Shalaby, sebagai
moderator bersama Dr. Haji Zabidin
Ismail dan Encik
Mohd. Razali Rafaei. |