Seramai 18 peserta yang terdiri daripada kakitangan dan
pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai Bengkel
ChatGPT dan AI Generatif anjuran Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB). Bengkel ini
berlangsung di Makmal Latihan IT PTB dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengah
hari.
Bengkel ini dikendalikan oleh dua tenaga pengajar dari Perpustakaan Tuanku
Bainun, iaitu En. Khairul Asyrani bin Sulaiman (Pegawai Teknologi Maklumat
Kanan) dan En. Mohd Hizam bin Samin (Pustakawan Kanan). Sepanjang sesi, peserta
didedahkan kepada penggunaan teknologi ChatGPT dan pengenalan kepada AI
Generatif sebagai alat yang berpotensi meningkatkan kecekapan dalam
penyelidikan, penghasilan tugasan akademik serta pengurusan maklumat.
Objektif utama bengkel ini adalah untuk memberi kefahaman asas kepada peserta
mengenai peranan teknologi AI dalam dunia akademik dan profesional. Melalui
bimbingan praktikal, peserta dapat memahami cara mengoptimumkan ChatGPT dalam
menjana idea dan menyelesaikan tugasan dengan lebih sistematik.
Bengkel ini turut menyaksikan interaksi aktif antara penceramah dan peserta
melalui sesi praktikal serta soal jawab, yang memberi peluang kepada peserta
untuk mendapatkan penjelasan secara langsung tentang penggunaan teknologi AI
generatif dalam konteks pembelajaran dan pekerjaan.