Pada 14 Disember 2024, Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB)
telah berjaya menganjurkan Bengkel Jom Belajar Asas Canva, yang telah menarik
penyertaan seramai 46 orang pelajar dari sekolah-sekolah sekitar daerah Muallim
dan Hulu Selangor. Bengkel ini dibahagikan kepada dua sesi untuk memastikan
pengajaran dapat disampaikan dengan lebih terperinci dan berkesan.
Canva, sebagai salah satu platform reka bentuk grafik yang
paling popular, telah memperkenalkan para peserta kepada pelbagai ciri asas
yang membolehkan mereka menghasilkan reka bentuk menarik, seperti poster dan
infografik, yang boleh digunakan dalam pelbagai konteks. Peserta diberi peluang
untuk mempraktikkan ilmu yang mereka pelajari melalui sesi hands-on yang
dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman, Puan Firdausiah Ahamad,
Pustakawan Kanan, bersama-sama Puan Normaizatul, En. Muhammad Syukri dan Puan
Suliza, Pembantu Pustakawan Kanan.
Bengkel ini tidak hanya memberi manfaat dari segi kemahiran
digital, tetapi juga memperkaya pengalaman pembelajaran peserta, terutamanya
dalam menggunakan teknologi yang semakin relevan dalam kehidupan harian.
Diharapkan bengkel seperti ini dapat terus memberikan impak positif, melahirkan
generasi muda yang lebih kreatif dan berdaya saing dalam dunia digital yang
serba moden ini.