Program Khidmat Komuniti Menaiktaraf Perpustakaan Masjid Jamek

 

   

Penutup Tirai 2024: Transformasi Perpustakaan, Masjid Jamek Tanjong Malim

Syukur alhamdulillah, tahun 2024 menyaksikan satu lagi pencapaian membanggakan bagi Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), apabila kami berjaya merealisasikan impian pihak pengurusan Masjid Jamek Tanjong Malim untuk memberi nafas baru kepada perpustakaan masjid tersebut. Dengan koleksi buku terkini, dinding yang dicat semula, serta dekorasi yang lebih segar dan menarik, transformasi ini bukan sekadar mengubah wajah perpustakaan, tetapi juga mengangkat martabat ilmu sebagai teras komuniti setempat.

Program Khidmat Komuniti menaiktaraf perpustakaan masjid ini adalah yang pertama kali diadakan, dan PTB berbesar hati kerana telah diberi kepercayaan untuk membantu dalam mewujudkan sebuah perpustakaan yang lebih kondusif untuk para pengunjung. Ini juga membuktikan peranan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai pakar rujuk dalam pelbagai bidang, termasuk pengurusan dan pembangunan perpustakaan.

Sebelum dan Selepas Transformasi

Sebelum transformasi, perpustakaan Masjid Jamek Tanjong Malim hanya berfungsi sebagai tempat penyimpanan barang-barang lama. Namun, selepas melalui proses naiktaraf yang mengambil masa selama lima hari bermula 14 hingga 18 Oktober 2024, perpustakaan ini kini dikenali dengan nama baharu Perpustakaan Haji Zainuddin, Tanjong Malim. Nama ini dipilih sebagai penghargaan kepada jasa tokoh berkenaan, yang turut memberi inspirasi kepada usaha memperkaya khazanah ilmu di masjid ini.

Seramai 18 orang staf PTB dan 20 orang pelajar dari Kelab Al-Mursyiddin Pusat Islam UPSI serta Kelab Sahabat Perpustakaan telah berganding bahu bagi menjayakan transformasi ini. Semangat kerjasama yang tinggi ini bukan sahaja menunjukkan komitmen PTB dalam memberi khidmat terbaik, tetapi juga memperlihatkan semangat kepimpinan dan kerjasama antara pihak universiti dan komuniti.

Majlis Perasmian yang Meriah

Pada 30 Disember 2024, majlis perasmian perpustakaan baharu ini telah disempurnakan oleh YB Salina Samsudin, Adun Behrang. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Orang Besar Jajahan Muallim, Toh Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal bin Hj. Ahmad, Ketua Pustakawan UPSI, Cik Noriha Muhammad, serta Ikon Membaca UPSI, Tuan Zamri Mohammad. Kehadiran mereka memberi makna yang mendalam kepada usaha ini dan menunjukkan sokongan padu terhadap inisiatif ini.

Selain daripada perasmian, PTB juga telah menyerahkan sebanyak 50 naskhah buku terkini bernilai RM1,000.00 sebagai sumbangan kepada perpustakaan masjid. Koleksi buku ini diharap dapat memperkayakan lagi pengetahuan masyarakat setempat dan menjadi bahan rujukan yang bermanfaat untuk semua.

Pujian harus diberikan kepada pihak pengurusan Masjid Jamek Tanjong Malim yang menyedari kepentingan perpustakaan dalam pembudayaan ilmu pengetahuan. Perpustakaan bukan hanya tempat untuk melaksanakan ibadah khusus kepada Allah, tetapi juga tempat interaksi dan pembelajaran yang memperkaya kehidupan masyarakat. Dengan peningkatan kemudahan dan suasana yang lebih kondusif, masjid ini kini bukan sahaja aktif pada waktu solat, tetapi juga di luar waktu tersebut sebagai pusat ilmu dan kegiatan komuniti.

Kami di PTB amat berharap agar pihak masjid dapat terus menggerakkan pelbagai aktiviti pembudayaan ilmu di perpustakaan ini. Dengan adanya pelbagai program, perpustakaan ini dapat menjadi sebuah ruang yang hidup dan dinamik.. Perpustakaan yang diberikan nama Haji Zainuddin ini kini bukan sahaja menjadi tempat ibadah, tetapi juga tempat untuk memperkaya ilmu, mengeratkan hubungan sesama komuniti, dan membina masyarakat yang lebih sejahtera.

Kami menyeru kepada semua warga UPSI dan komuniti setempat agar memanfaatkan sebaik-baiknya kemudahan yang telah disediakan. Marilah bersama-sama menjaga dan memelihara Perpustakaan Haji Zainuddin ini supaya ia terus memberi manfaat dan menjadi pusat ilmu yang berguna kepada generasi akan datang.

Selamat menutup tirai 2024 dengan penuh harapan untuk 2025 yang lebih gemilang, penuh pencapaian dan manfaat bersama!

    Sebelum dinaiktaraf

Sebelum dinaiktaraf
                                                                           
Bermula kerja-kerja menaiktaraf
    
Bergotong royong mengalihkan buku

Mengasing dan menyisih barang yang tidak diperlukan

Menyusun semula gambar-gambar lama
    
Kerja-kerja mengecat dinding
    
Menyelek pintu kayu

Memasang perabot baru

Perabot-perabot yang telah siap dipasang 
    
Memasang sofa baharu

Rak hiasan untuk meletak buku

    Mengatur hiasan dalaman

        Menyusun semula gambar-gambar lama
   
    Selepas naik taraf

    Selepas naik taraf

                            Selepas naik taraf

    Selepas naik taraf
   
    Selepas naik taraf

    Selepas naik taraf

    Selepas naik taraf

  Pemotongan reben sempena perasmian oleh YB Salina Samsudin, Adun Behrang
    
    Dinamakan Perpustakaan Haji Zainuddin

    Perasmi menurunkan tandatangan

    Bergambar kenangan  bersama ahli keluarga allahyarham Haji Zainuddin

    Simbolik penyerahan buku kepada Pengerusi Masjid Jamek Tanjong Malim
    
    YB Salina melihat koleksi bahan bacaan
    
    Melihat permainan tradisional, congkak 
    
    Melihat gambar-gambar lama yang telah disusun atur 
    
    Ahli jawatankuasa yang terlibat menaiktaraf perpustakaan