Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) telah menerima lawatan
penanda aras daripada Bahagian Korporat dan Latihan Staf, Perpustakaan Sultan
Abdul Samad Universiti Putra Malaysia (UPM). Lawatan ini bertujuan untuk
memperkukuh hubungan profesional dan meningkatkan amalan terbaik antara
kedua-dua organisasi. Delegasi yang terdiri daripada lima orang staf
Perpustakaan Sultan Abdul Samad diketuai oleh Pn. Nazibah Kamarudin, Penolong
Ketua Pustakawan.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk berkongsi pengalaman
mengenai pelaksanaan latihan kompetensi staf dan inisiatif penjanaan pendapatan
yang inovatif. Pihak PTB telah memberi taklimat terperinci mengenai program
latihan yang dilaksanakan untuk staf mereka, dengan fokus pada pendekatan
holistik dan strategi pembelajaran sepanjang hayat untuk meningkatkan kecekapan
dan produktiviti pekerja.
Selain itu, PTB turut berkongsi usaha-usaha dalam penjanaan
pendapatan, seperti penganjuran bengkel, kursus jangka pendek, dan
program-program sempena cuti sekolah yang telah memberikan impak positif
terhadap kewangan jabatan. Lawatan ini juga memberi peluang kepada kedua-dua
pihak untuk bertukar pandangan mengenai amalan terbaik dalam pengurusan projek,
penggunaan teknologi terkini, dan strategi peningkatan kecekapan operasi.
Sebagai sebahagian daripada lawatan, delegasi juga diberikan
kesempatan untuk melihat beberapa ruang di PTB, termasuk Galeri Muallim, Sudut
AURORA, Bilik Bacaan 24 jam, dan beberapa kemudahan lain.