Pada 19 Mei 2025, Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), UPSI menerima kunjungan seramai 20 orang prospek dari Penjara Kluang, Johor yang kini melanjutkan pengajian Diploma Keusahawanan di bawah Fakulti Pengurusan Ekonomi (FPE), menerusi Program Pelita Suluh Budiman Kohort 2. Lawatan ini diadakan bersempena Program Perkongsian Penubuhan & Pendaftaran Perniagaan anjuran bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Penjara Kluang.
Semasa lawatan, para prospek diberi taklimat oleh Pengarah SSM Negeri Perak, Puan Azurah Nor Saris yang berkongsi maklumat penting tentang Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP), Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S101P), dan SSM BizTrust. Ini merupakan usaha untuk memberi pendedahan awal kepada mereka berkaitan peluang mendaftarkan perniagaan secara sah dan berdaftar.
Selain itu, mereka turut berpeluang melihat sendiri kemudahan dan koleksi buku yang terdapat di PTB, khususnya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Mereka juga diperkenalkan dengan teknik pencarian maklumat secara dalam talian, sekaligus memberi gambaran bagaimana perpustakaan akademik menyokong proses pembelajaran moden.
Turut hadir dalam program ini ialah Encik Mohd Haniff bin Zawawi, Ketua Unit Pendidikan, Ibu Pejabat Penjara Malaysia dan Tuan Ahmad Shazwan Fikri bin Mohamad, Timbalan Penguasa Penjara Kluang. Program sebegini membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam memperkasa pendidikan, memperluas akses ilmu dan membuka peluang kedua kepada mereka yang ingin berubah dan membina masa depan lebih baik.