Kem Zoologi Yan: Menyemai Ilmu Biodiversiti melalui Citizen Science

  

   

Kawasan tanah lembap di Yan, Kedah menjadi tumpuan pencinta alam semula jadi apabila Kem Zoologi: Eksplorasi Fauna Ekosistem Tanah Lembap berjaya dilaksanakan di Carribean Campsite dari 29 Jun hingga 1 Julai 2025. Program selama tiga hari ini menghimpunkan seramai 45 peserta daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta komuniti setempat.

Dianjurkan oleh Shorebirds Peninsular Malaysia Project (SPMP) dengan kerjasama Centre of Biodiversity and Conservation (CeBEC), UPSI, inisiatif ini berteraskan pendekatan Citizen Science, sejajar dengan aspirasi Naib Canselor UPSI untuk memperkasa pendidikan biodiversiti dan keterlibatan komuniti.

Program ini diketuai oleh Dr. Nur Munira Azman, pensyarah Fakulti Sains dan Matematik UPSI yang juga Koordinator SPMP dan Felo CeBEC. Beliau turut berkongsi kepakaran berkaitan ekosistem tanah lembap dan kaedah penyelidikan burung seperti line transect, point count observation dan mist netting.

Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) turut memainkan peranan menerusi penglibatan dua orang Pustakawan Kanan, Puan Ruziah Ahmad dan Puan Norhalida Derasol sebagai ahli jawatankuasa pelaksana. Penglibatan ini menyerlahkan fungsi pustakawan sebagai pemudah cara ilmu, penyokong literasi sains dan penghubung antara penyelidik serta komuniti, selari dengan prinsip Citizen Science.

Pelbagai aktiviti lapangan menarik dijalankan termasuk sesi birdwatching, cerapan herpetofauna malam, rakaman bioakustik primat, serta pengenalan kepada penggunaan binocular, teleskop dan aplikasi eBird serta BirdNET. Aktiviti ini dikendalikan oleh pakar daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Nature Sustainable Ecosystem Society (NEST), serta penyelidik dari USM dan UMT. Para peserta turut didedahkan kepada topik seperti konservasi burung migrasi, kajian herpetofauna dan primat, serta simbiosis unik antara kelawar dan tumbuhan dalam ekosistem tanah lembap.

Program ini turut menerima sokongan dana daripada Think City Sdn. Bhd. yang komited dalam memperkasa pendidikan alam sekitar dan penglibatan masyarakat menerusi pendekatan Citizen Science.

UPSI dan PTB kekal komited menyokong pendidikan biodiversiti dan pemerkasaan komuniti melalui pendekatan Citizen Science serta prinsip Open Science yang menekankan keterbukaan ilmu, kolaborasi dan penglibatan aktif masyarakat dalam usaha pemeliharaan alam sekitar.

Mendengar taklimat
    
    Peserta bersama teropong       

          Menunjukkan teknik penggunaan teleskop

   Harp trap - Perangkap Kelawar
    
        Peserta melihat sarang burung
         
 Aktiviti Eksplorasi Herpetofauna (night animal)
                
                                                                                                         Perkongsian berkaitan herpetofauna (noctural animal)
                       
  Perkongsian berkaitan pakar burung  oleh pegawai PERHILITAN
   
       Dr. Nurul 'Ain Elias, penyelidik USM- Kelawar dan tumbuhan simbiosis di tanah lembap