Persidangan Antarabangsa PERPUN (26 - 27 Julai 2016)

Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan sokongan Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) buat julung kalinya menganjurkan ‘5th PERPUN International Conference 2016 : System & Innovation In Libraries’ pada 26 – 27 Julai 2016 bertempat di FELDA Residence Hot Springs, Sungai Klah, Sungkai, Perak.  Perasmian persidangan telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Zakaria bin Kasa,  Naib Canselor UPSI.

Persidangan ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan input daripada perpustakaan-perpustakaan di Malaysia dalam pembangunan sistem dalaman untuk meningkatkan perkhidmatan kepada  pengguna,  memperkenalkan produk  inovasi terkini yang digunapakai di perpustakaan dalam dan luar negara serta menjalinkan  kerjasama dan meluaskan jaringan dalam kalangan para pustakawan dan pegawai teknologi maklumat di dalam memacu perkhidmatan perpustakaan.

Persidangan ini berjaya mengetengahkan inovasi-inovasi sistem yang dibangunkan oleh perpustakaan dalam dan luar negara ke dalam satu platform perkongsian yang boleh dimanfaatkan bersama. Jumlah kehadiran pembentang, peserta dan pemamer adalah seramai 111 orang. Sebanyak 14 kertas kerja telah dibentangkan termasuk 2 kertas kerja daripada pengucaptama.

Ucapan perasmian oleh YBhg. Professor Dato' Dr. Zakaria bin Kasa, Naib Canselor UPSI



Ucaptama oleh Mr. Adam Brimo, CEO of Faouder Open Learning

Persidangan ini berjaya mendedahkan para peserta terhadap pembangunan sistem yang dibangunkan sendiri oleh perpustakaan-perpustakaan seluruh Malaysia yang memberikan impak secara langsung atau tidak langsung terhadap proses kerja serta perkhidmatan dan kemudahan kepada pengguna.

Sistem dan inovasi yang diketengahkan akan menjadi medan untuk membuka lembaran baru dengan mengurangkan kebergantungan kepada vendor atau syarikat luar, sekaligus menyaksikan kebangkitan para pustakawan dan pegawai teknologi maklumat berganding bahu dalam merealisasikan pembangunan sistem dalaman termasuk perpustakaan digital.

Antara pembentang kertas kerja dan Pengerusi Sesi Dr. Nor Edzan bt. Che Nasir
Sesi demo oleh pemamer inovasi