PROGRAM KECEMERLANGAN BAHASA MALAYSIA STPM SEKOLAH BITARA 2011

Pada 21 April 2011, Perpustakaan Tuanku Bainun telah menganjurkan Program Kecemerlangan Bahasa Malaysia STPM Sekolah Bitara 2011, Sempena Kempen Galakan Membaca 2011, UPSI. Program anjuran Perpustakaan Tuanku Bainun ini melibatkan dua buah sekolah BITARA iaitu SMK Khir Johari, Tanjong Malim dan SMK Dato’ Zulkifli, Slim River.

Program yang disertai 55 pelajar Tingkatan Enam Atas dan 3 orang guru pengiring ini bermula pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di Bilik Serbaguna 2, Perpustakaan Tuanku Bainun. Program dimulakan dengan pendaftaran pelajar bermula jam 8.00 pagi hingga 8.30 pagi. Program ini telah dikendalikan oleh Tuan Haji Ahmad Khair B Mohd Noor sebagai penceramah jemputan. Beliau merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI dan berpengalaman dalam pengendalikan program seumpama ini.

Tuan Haji Ahmad Khair Bin Mohd Noor

Pengisian program ini adalah lebih menekankan kepada teknik penulisan karangan dalam kertas Bahasa Malaysia STPM dan memberi tip dan teknik dalam permarkahan kertas soalan ini. Pendedahan ini penting kepada para pelajar kerana dengan teknik dan tip yang betul mereka dapat menjawab kertas Bahasa Malaysia ini dengan baik dan mendapat markah yang cemerlang. Program ini juga mencapai objektif iaitu membantu pelajar dalam mengetahui teknik-teknik penulisan karangan ini dengan betul dan sebagai salah satu usaha persediaan pelajar dalam menghadapi peperiksaan STPM 2011 kelak. Jalinan kerjasama antara pihak Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI dengan pihak pejabat pendidikan daerah dan sekolah tercapai.

Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh Ketua Pustakawan, Puan Rusliza Bt Yaacob, turut hadir sama En Mohamed Zaid B Mohamed Idris, Ketua Bahagian Pengurusan Perkhidmatan dan Maklumat. Intipati ucapan penutup oleh Ketua Pustakawan adalah pihak perpustakaan akan terus menganjurkan program – program akademik seumpama ini di masa akan datang dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak sekolah dan jabatan lain dalam menjayakan Kempen Galakan Membaca UPSI. Pada majlis Penutup Program ini, pihak perpustakaan berbesar hati memberi sijil penghargaan dan cenderahati kepada Tuan Haji Ahmad Khair B Mohd Noor selaku penceramah dan juga sijil penghargaan kepada pihak sekolah BITARA yang memberi sokongan kepada program yang dianjurkan ini. Peserta program juga mendapat sijil penyertaan dari pihak Perpustakaan Tuanku Bainun dan Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang, Perak. Secara keselurulahn, program ini telah mendapat sambutan yang baik dari pihak Sekolah BITARA dan PPD Daerah Batang Padang.

Majlis dan program tamat pada pukul 5.00 petang.

Disediakan oleh : Nurul Kashfi Subri (AJK Program)