Majlis perasmian yang diadakan pada 16 Oktober 2025 di Dewan SITC telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Suriani binti Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi). Dalam ucapannya, beliau menyeru warga universiti agar terus memupuk semangat membaca sebagai asas pembentukan ilmu, jati diri dan peradaban bangsa. Seruan ini selaras dengan peranan UPSI sebagai institusi pendidikan yang menekankan pembangunan sahsiah dan minda berasaskan pengetahuan.
Acara perasmian turut diserikan dengan kehadiran tetamu jemputan yang sangat dihormati, termasuk Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd. Anwar Ridhwan, Ikon Membaca UPSI Tuan Zamri bin Mohamad, Pegawai Daerah Muallim Tuan Mohd. Sabli bin Bakri, serta wakil Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Encik Ahmad Mahfuz Naihan bin Shahar Murshid. Kehadiran tokoh-tokoh ini, bersama lebih 200 orang hadirin, menambah seri majlis dan mengukuhkan lagi nilai simbolik pesta buku sebagai wadah yang menyatukan pencinta ilmu.
Sepanjang empat hari penganjuran, Pesta Buku UPSI ke-20 menawarkan pelbagai pengisian menarik yang merangkumi jualan buku ilmiah dan kreatif, sesi bual santai bersama penulis, serta aktiviti literasi untuk pelajar dan komuniti setempat. Penganjuran turut diserikan dengan persembahan silat, tayangan montaj khas dan gimik pelancaran rasmi yang berjaya membangkitkan semangat budaya ilmu dalam suasana penuh keterujaan.
Secara keseluruhannya, pesta buku ini bukan sahaja menyemarakkan kecintaan terhadap bahan bacaan, malah memperkukuh usaha UPSI untuk mendekatkan dunia ilmu dengan masyarakat. Penganjuran ini terus membuktikan komitmen universiti dalam melahirkan generasi pembaca yang celik, kritis dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
