PERSEMBAHAN BONEKA OLEH KELAB SAHABAT PUSTAKA

Menarik! Seronok! Meriah! Itu adalah gambaran yang berlaku di Perpustakaan Tuanku Bainun pada pagi 4 April 2011 yang lalu apabila seramai 36 orang kanak-kanak tadika 5 tahun dari Pusat Kecemerlangan Kanak-Kanak UPSI memasuki ruang pameran aras 1 perpustakaan. Kehadiran tetamu kecil ini yang diiringi oleh 4 orang guru, telah dijemput khas oleh pihak perpustakaan bagi menjayakan program persembahan boneka yang dianjurkan sempena gerakan membaca perpustakaan 2011. Persembahan boneka ini dijayakan dengan kerjasama ahli Kelab Sahabat Pustaka.

Tepat 9.50 pagi, kedengaran suara kanak-kanak comel ini berteriak keriangan menaiki tangga perpustakaan. Kanak-kanak ini seterusnya dijemput mengambil tempat di hadapan pentas boneka. Program dimulakan dengan nyanyian lagu ‘Kalau anda gembira’ beramai-ramai oleh kanak-kanak, kakak-kakak AJK dan guru-guru. Selesai sesi nyanyian, persembahan boneka dimulakan. Semua kanak-kanak yang hadir bersorak apabila diperkenalkan dengan watak-watak boneka yang comel. Kanak-kanak mula memberi perhatian apabila cerita dimulakan. Cerita yang dipersembahkan berkisar tentang perlumbaan di antara kura-kura, badak dan harimau di mana akhirnya kura-kura menjadi johan.

Program diteruskan dengan sesi kuiz spontan di mana kanak-kanak diberikan soalan yang berkaitan dengan persembahan boneka. Keterujaan kanak-kanak berkenaan terlihat apabila mereka berebut-rebut ingin menjawab soalan yang diberikan. Terpancar kegembiraan di wajah mereka apabila diberi hadiah kerana memberi jawapan yang betul.

Seterusnya diadakan aktiviti mewarna di mana kanak-kanak diberikan topeng muka untuk diwarnakan. Topeng muka berkenaan diilhamkan dari watak-watak yang terdapat dalam persembahan boneka. Gelagat kanak-kanak berkenaan amat mencuit hati apabila masing-masing memakai topeng yang telah diwarnakan. Ada topeng harimau yang berwarna-warni, ada topeng badak yang berconteng dan ada topeng singa yang berwarna merah!

Sesi tarian tommy secara beramai-ramai mengakhiri program ini. Sebelum berangkat pulang ke tadika semula, kanak-kanak dan guru-guru diberikan ‘doorgift’ sebagai penghargaan kepada kesudian pihak Pusat Kecemerlangan Kanak-Kanak menerima jemputan dari Perpustakaan Tuanku Bainun.

Disediakan oleh : Nor Hanizah Zahid (AJK Persembahan Boneka)