Lawatan Pustakawan UPM ke Perpustakaan Tuanku Bainun

Pada 10 Oktober 2011 lalu, Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Koleksi (BPK) Perpustakaan Tuanku Bainun menerima lawatan seramai 4 orang Pustakawan daripada Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia.

Lawatan ini adalah bermatlamat untuk melihat sendiri bagaimana pangkalan data buku rujukan dibangunkan serta pengalaman pengendalian sistem berkenaan oleh pihak BPK. Pihak PSAS memaklumkan bahawa PSAS di dalam proses untuk membangunkan sistem yang serupa bagi menggantikan sistem manual yang digunapakai sekarang.

Pustakawan-pustakawan UPM di dalam sesi soal jawab

Pembentangan sejarah pembangunan sistem telah disampaikan oleh Ketua BPK, Cik Noriha dan dibantu oleh Pegawai Teknologi Maklumat Perpustakaan Tuanku Bainun, En. Khairul Asyrani.

Perpustakaan Tuanku Bainun adalah antara perpustakaan akademik terawal yang menggunakan sistem yang dibangunkan secara dalaman untuk pengurusan bahan rujukan utama (Reading List). Melalui sistem RL.sys yang dibangunkan, ianya membantu BPK membuat pengesanan serta pengukuhan koleksi rujukan utama dengan pantas dan efisien.

Sesi pertukaran dan percambahan maklumat antara kedua-dua perpustakaan akademik ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pustakawan, Pn. Siti Sumaizan dan berakhir kira-kira jam 1 tengahari.