Pertandingan Transliterasi Koleksi Nadir

 


    Peranan dan fungsi sesebuah perpustakaan akademik adalah bergantung kepada kekuatan koleksi perpustakaan yang bersesuaian dengan keperluan pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan. Perpustakaan  Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris kini memiliki lebih    daripada tiga (3) juta koleksi bahan bercetak dan elektronik bagi menyokong sepenuhnya aspirasi pendidikan tinggi negara seterusnya menjadikan Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai sebuah universiti nombor 1 pendidikan.


       Justeru, apabila seluruh dunia bergelut dengan wabak penyakit COVID-19 koleksi-koleksi bercetak tidak lagi dapat diakses oleh pengguna perpustakaan dan secara   tidak langsung semua aktiviti secara bersemuka tidak diteruskan bagi menyekat     penularan wabak COVID-19. Walau bagaimanapun, Perpustakaan Tuanku Bainun  sedar akan tanggungjawab serta cabaran yang  perlu diatasi supaya koleksi-koleksi ini perlu diberi akses atau semua aktiviti berkaitan membaca perlu dijalankan dari masa ke semasa dengan apa cara sekalipun. Oleh itu,  Perpustakaan Tuanku Bainun telah mengambil inisiatif dengan mengadakan pertandingan Transliterasi Koleksi Nadir yang tersimpan di dalam koleksi.

        Koleksi Nadir adalah bahan terbitan sebelum tahun 1950 yang sukar diperolehi, habis cetak, tidak dicetak lagi dan merupakan koleksi yang sangat bernilai. Perpustakaan Tuanku Bainun mempunyai lebih kurang 998 naskhah koleksi nadir yang berkaitan dengan sejarah, sastera, perguruan dan rekod tokoh-tokoh guru semasa zaman Sultan Idris Training College atau SITC (1922-1957). Koleksi nadir ini terdiri daripada bahan-bahan dalam bahasa Inggeris dan Melayu (tulisan jawi).


Objektif kepada pertandingan ini adalah untuk :

1. Memperkenalkan koleksi nadir PTB kepada warga UPSI dan orang awam.

2. Mencungkil bakat pelajar dalam membaca tulisan jawi lama.

3. Menerbitkan terjemahan transliterasi ini kepada sebuah buku dengan kerjasama

    Pejabat Karang Mengarang UPSI dan dijadikan dalam bentuk buku elektronik untuk

    simpanan perpustakaan.


        Pertandingan transliterasi koleksi nadir ini telah diadakan bermula pada 07 Ogos 2020 sehingga 04 September 2020.  Semua peserta yang menyertai perlu membuat transliterasi sebuah buku koleksi nadir jawi lama bertajuk “Hancur Hati” yang mempunyai 69 muka surat dan diterbitkan pada tahun 1949. Pengarang buku ini adalah Ahmad Bakhtiar, yang merupakan guru awal pada zaman SITC dari 1922 hingga 1952, dan telah menjadi Guru Besar SITC 1952-1954. Beliau mempunyai bakat seni terpendam dan mempelajari muzik. Bersara dari jawatan Guru Besar SITC pada tahun 1959 dan meninggal dunia pada tahun 1961. 


PERTANDINGAN TRANSLITERASI KOLEKSI NADIR

        Ahmad Bakhtiar menghasilkan kira-kira 60 buah buku yang meliputi pelbagai jenis, daripada bacaan kanak-kanak hinggalah kepada buku pengetahuan dewasa.    Beliau juga seorang yang pandai berpidato, berbual dan bercerita. Buat pertama kalinya, Perpustakaan Tuanku Bainun membuka penyertaan pertandingan secara terbuka kepada semua pelajar universiti awam dan swasta seluruh Malaysia.

           Sepanjang pertandingan ini berlangsung, pihak perpustakaan telah menerima 299 permohonan untuk menyertai pertandingan ini. Daripada 299 permohonan, seramai 108 orang peserta berjaya menyiapkan transliterasi bahan tersebut. Pecahan       permohonan dan penyertaan peserta mengikut universiti adalah seperti berikut : 




Penjurian Pertandingan

       Di dalam setiap pertandingan yang dianjurkan, kita harus memilih juri yang layak    dalam membuat keputusan untuk menyemak setiap penyertaaan yang dihantar. Bagi pertandingan ini, tiga orang juri telah dilantik iaitu Dr. Makmur bin Haji Harun,     Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi; Puan Suhaila binti Sidek, Timbalan     Pendaftar Kanan; Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Puan Muliati binti Abdul Samad. Pustakawan Kanan Perpustakaan Tuanku Bainun.

Kaedah penjurian adalah seperti berikut :

Isu dan Cabaran

                Dalam setiap pelaksanaan aktiviti sudah pastinya akan muncul pelbagai cabaran. Berikut adalah beberapa cabaran yang dihadapi semasa dalam peringkat menjalankan transliterasi dan penjurian seperti berikut:




     i.  Tulisan Jawi lama yang kurang jelas kerana usia bahan nadir yang mencecah  puluhan tahun        walaupun usaha pemuliharaan sudah dilakukan oleh perpustakaan. Cabaran ini memerlukan urus setia bersama juri untuk menentukan huruf yang dieja dan membaca dengan tepat. Oleh itu, perlu mengagak bunyi yang bersesuaian bagi perkataan yang dibaca dan seterusnya merujuk Kamus Online Dewan Bahasa Pustaka (https://prpm.dbp.gov.my/) untuk memastikan perkataan tersebut mempunyai    makna dan bersesuaian dengan ayat. 


    ii. Perbezaan ejaan jawi lama dan jawi baru.


 iii. Penulisan ejaan yang berubah-ubah pada karya penulis.      

      
    
 iv. Penggunaan bahasa Melayu lama yang kurang digunakan pada masa kini. 
        
          

     
 v. Sesetengah perkataan menggunakan gabungan bahasa Inggeris dan Indonesia yang boleh                       mengelirukan.

        
        vi.Cara penulisan yang menggabungkan dua perkataan. Contoh:

        
        
        Pada 20 November 2020, pengumuman pemenang telah dibuat melalui emel dan media sosial                 perpustakaan. Senarai pemenang adalah seperti berikut :

 

Kesimpulannya, hasil daripada pertandingan ini sebuah buku     telah berjaya ditransliterasi kepada tulisan Rumi walau memerlukan usaha, penuh wibawa dan kesabaran yang tinggi dalam membaca dan memahami tulisan Jawi lama. Selain daripada itu, ia memberi kelebihan kepada semua peserta, urus setia dan juri kerana proses pembelajaran berterusan yang melibatkan kepakaran dan    strategi bagi mendapatkan hasil yang amat bermanfaat ini. Justeru, aktiviti seperti ini harus diteruskan dengan lebih meluas dan melibatkan lebih ramai pengkaji tulisan Jawi lama kerana terdapat nilai-nilai murni yang ada dalam isi     kandungan  buku untuk dibaca serta difahami oleh generasi masa kini dan yang akan datang.


                                                                                            Firdausiah binti Ahamad, Pustakawan Kanan