Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku UPSI ke-18

 


18 November 2023 - Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku UPSI ke-18 dan Pengumuman Ikon Membaca UPSI 2023 merupakan acara kemuncak bagi aktiviti Pesta Buku pada tahun ini hasil kolaborasi penganjuran Perpustakaan Tuanku Bainun dan Pejabat Karang Mengarang, UPSI. Majlis turut diserikan dengan kehadiran selebriti jemputan saudara Bell Ngasri bagi sesi Bual Bicara : Pengorbanan di sebalik Kejayaan Bell Ngasri.

Pada tahun ini, Perpustakaan Tuanku Bainun telah mengumumkan Tuan Zamri Mohamad seorang aktivis penulisan sebagai Ikon Membaca UPSI 2023. Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato' Dr. Md. Amin bin Md Taff (Naib Canselor, UPSI) serta turut dihadiri Prof. Dr. Suriani bt. Abu Bakar (Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)), Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin (Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni)), Cik Noriha binti Muhammad (Ketua Pustakawan) dan Dr. Nordiana binti Hamzah (Pengarah, Pejabat Karang Mengarang).

Sebanyak 30 pempamer yang terdiri daripada Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia dan penerbit komersil telah menjayakan Pesta Buku UPSI pada tahun ini dengan mencapai jumlah jualan 5,149 naskhah buku sepanjang 4 hari ia berlangsung. Selain daripada itu, aktiviti ini juga turut menjemput 28 penggerai makanan dan foodtruck untuk merancakkan Pesta Buku UPSI ke-18 ini. Jumlah kunjungan sepanjang 4 hari berlangsung adalah seramai 11,429 orang pengunjung.