Tuesday, April 26, 2011

PROGRAM KECEMERLANGAN BAHASA MALAYSIA STPM SEKOLAH BITARA 2011

Pada 21 April 2011, Perpustakaan Tuanku Bainun telah menganjurkan Program Kecemerlangan Bahasa Malaysia STPM Sekolah Bitara 2011, Sempena Kempen Galakan Membaca 2011, UPSI. Program anjuran Perpustakaan Tuanku Bainun ini melibatkan dua buah sekolah BITARA iaitu SMK Khir Johari, Tanjong Malim dan SMK Dato’ Zulkifli, Slim River.

Program yang disertai 55 pelajar Tingkatan Enam Atas dan 3 orang guru pengiring ini bermula pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di Bilik Serbaguna 2, Perpustakaan Tuanku Bainun. Program dimulakan dengan pendaftaran pelajar bermula jam 8.00 pagi hingga 8.30 pagi. Program ini telah dikendalikan oleh Tuan Haji Ahmad Khair B Mohd Noor sebagai penceramah jemputan. Beliau merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI dan berpengalaman dalam pengendalikan program seumpama ini.

Tuan Haji Ahmad Khair Bin Mohd Noor

Pengisian program ini adalah lebih menekankan kepada teknik penulisan karangan dalam kertas Bahasa Malaysia STPM dan memberi tip dan teknik dalam permarkahan kertas soalan ini. Pendedahan ini penting kepada para pelajar kerana dengan teknik dan tip yang betul mereka dapat menjawab kertas Bahasa Malaysia ini dengan baik dan mendapat markah yang cemerlang. Program ini juga mencapai objektif iaitu membantu pelajar dalam mengetahui teknik-teknik penulisan karangan ini dengan betul dan sebagai salah satu usaha persediaan pelajar dalam menghadapi peperiksaan STPM 2011 kelak. Jalinan kerjasama antara pihak Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI dengan pihak pejabat pendidikan daerah dan sekolah tercapai.

Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh Ketua Pustakawan, Puan Rusliza Bt Yaacob, turut hadir sama En Mohamed Zaid B Mohamed Idris, Ketua Bahagian Pengurusan Perkhidmatan dan Maklumat. Intipati ucapan penutup oleh Ketua Pustakawan adalah pihak perpustakaan akan terus menganjurkan program – program akademik seumpama ini di masa akan datang dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak sekolah dan jabatan lain dalam menjayakan Kempen Galakan Membaca UPSI. Pada majlis Penutup Program ini, pihak perpustakaan berbesar hati memberi sijil penghargaan dan cenderahati kepada Tuan Haji Ahmad Khair B Mohd Noor selaku penceramah dan juga sijil penghargaan kepada pihak sekolah BITARA yang memberi sokongan kepada program yang dianjurkan ini. Peserta program juga mendapat sijil penyertaan dari pihak Perpustakaan Tuanku Bainun dan Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang, Perak. Secara keselurulahn, program ini telah mendapat sambutan yang baik dari pihak Sekolah BITARA dan PPD Daerah Batang Padang.

Majlis dan program tamat pada pukul 5.00 petang.

Disediakan oleh : Nurul Kashfi Subri (AJK Program)

Wednesday, April 13, 2011

Lawatan Penanda Aras IPG ke Perpustakaan Tuanku Bainun

Pihak Perpustakaan Tuanku Bainun hari ini telah menerima lawatan penanda aras wakil-wakil IPG dari Besut, Kota Bharu, Batu Pahat dan Kuala Terangganu.


Lawatan ini berlangsung daripada pukul 9.00 pagi, dimulai dengan taklimat daripada Perpustakaan dan seterusnya lawatan berpandu ke bahagian-bahagian. Lawatan ini adalah bertujuan bagi mendapatkan keperluan perancangan untuk menubuhkan Perpustakaan IPG.

Tuesday, April 12, 2011

Program Kecemerlangan Bahasa Malaysia STPM


Program Kecemerlangan Bahasa Malaysia
Sasaran :
STPM
Tarikh : 21 April 2011 (Khamis)
Masa : 8:00 pagi sehingga 5:00 petang
Lokasi : Bilik Serbaguna 2, Perpustakaan Tuanku Bainun

Thursday, April 7, 2011

PERSEMBAHAN BONEKA OLEH KELAB SAHABAT PUSTAKA

Menarik! Seronok! Meriah! Itu adalah gambaran yang berlaku di Perpustakaan Tuanku Bainun pada pagi 4 April 2011 yang lalu apabila seramai 36 orang kanak-kanak tadika 5 tahun dari Pusat Kecemerlangan Kanak-Kanak UPSI memasuki ruang pameran aras 1 perpustakaan. Kehadiran tetamu kecil ini yang diiringi oleh 4 orang guru, telah dijemput khas oleh pihak perpustakaan bagi menjayakan program persembahan boneka yang dianjurkan sempena gerakan membaca perpustakaan 2011. Persembahan boneka ini dijayakan dengan kerjasama ahli Kelab Sahabat Pustaka.

Tepat 9.50 pagi, kedengaran suara kanak-kanak comel ini berteriak keriangan menaiki tangga perpustakaan. Kanak-kanak ini seterusnya dijemput mengambil tempat di hadapan pentas boneka. Program dimulakan dengan nyanyian lagu ‘Kalau anda gembira’ beramai-ramai oleh kanak-kanak, kakak-kakak AJK dan guru-guru. Selesai sesi nyanyian, persembahan boneka dimulakan. Semua kanak-kanak yang hadir bersorak apabila diperkenalkan dengan watak-watak boneka yang comel. Kanak-kanak mula memberi perhatian apabila cerita dimulakan. Cerita yang dipersembahkan berkisar tentang perlumbaan di antara kura-kura, badak dan harimau di mana akhirnya kura-kura menjadi johan.

Program diteruskan dengan sesi kuiz spontan di mana kanak-kanak diberikan soalan yang berkaitan dengan persembahan boneka. Keterujaan kanak-kanak berkenaan terlihat apabila mereka berebut-rebut ingin menjawab soalan yang diberikan. Terpancar kegembiraan di wajah mereka apabila diberi hadiah kerana memberi jawapan yang betul.

Seterusnya diadakan aktiviti mewarna di mana kanak-kanak diberikan topeng muka untuk diwarnakan. Topeng muka berkenaan diilhamkan dari watak-watak yang terdapat dalam persembahan boneka. Gelagat kanak-kanak berkenaan amat mencuit hati apabila masing-masing memakai topeng yang telah diwarnakan. Ada topeng harimau yang berwarna-warni, ada topeng badak yang berconteng dan ada topeng singa yang berwarna merah!

Sesi tarian tommy secara beramai-ramai mengakhiri program ini. Sebelum berangkat pulang ke tadika semula, kanak-kanak dan guru-guru diberikan ‘doorgift’ sebagai penghargaan kepada kesudian pihak Pusat Kecemerlangan Kanak-Kanak menerima jemputan dari Perpustakaan Tuanku Bainun.

Disediakan oleh : Nor Hanizah Zahid (AJK Persembahan Boneka)